Sejarah Visa (kumpulan muzik)

Pada tahun 1991, empat sekawan yang sama-sama bersekolah di Terengganu iaitu Sham, Joe, Imm dan Kudin yang menubuhkan kumpulan Visa telah berhijrah ke Kuala Lumpur dalam misi mereka untuk menjadi artis rakaman. Melalui penulis lirik Seri Bayu (Allahyarham) dan Datuk Jake Abdullah (mantan ketua pegawai eksekutif Astro Radio), mereka yang pada ketika itu tinggal di Ampang telah diperkenalkan kepada Mazli yang kemudiannya menjadikan Visa lima orang anggota. Mereka kemudiannya menandatangani kontrak rakaman selama lima tahun dengan Happy Records, sebuah syarikat rakaman yang telah melahirkan beberapa artis terkenal tanahair seperti Fauziah Latiff.

Bersama Happy Records, Visa telah menghasilkan tiga album studio iaitu Visa (1992), Dalam Gerimis (1994) dan Ilham (1995). Mereka kemudiannya mengeluarkan satu album kompilasi iaitu The Best Of Visa di bawah label EMI pada tahun 1997.